Friday, February 5, 2010

Assignment CTU101: Fundamentals of Islam





Tajuk:

Pembentukan dan Cabaran Akhlak dalam Islam,
Kesan Pengabaian dan Cara Mengatasi





PENDAHULUAN
Allah menjadikan manusia, dihadiahkan akal untuk berfikir dan memilih antara baik dan buruk, yang bersih atau yang kotor. Dengan adanya akal ini, manusia dapat menilai sesuatu akhlak untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya diperintahkan berakhlak dengan akhlak yang baik adalah semata-mata untuk kepentingan kita sendiri. Allah tidak merasa diuntungkan atau dirugikan jika kita berakhlak mulia atau tidak.

Sebagai seorang muslim yang meyakini kebenaran Al-Quran, maka seharusnya tahu bahawa perintah berakhlak mulia itu telah dijelaskan di dalam Al-Quran malah telah ditegaskan dalam beberapa hadis nabi di mana hadis-hadis itu memberi petunjuk dan penerapan seharian bagaimana akhlak yang baik dan mulia.

Orang yang mengabaikan pembentukan akhlak yang mulia dalam diri akan merasa rugi. Rugi di dunia dan terseksa diakhirat kerana melakukan kerosakan di muka bumi. Ini didorong oleh pengaruh dalaman dan pengaruh luaran yang sentiasa mengajak melakukan aktiviti yang merosakkan akhlak kita. Akhlak memainkan peranan yang penting dalam pembentukan jati diri seseorang. Kejayaan dalam hidup seseorang bergantung kepada gaya hidup mereka sama ada menurut apa yang dijelaskan dalam Al-Quran atau tidak. Kerana itu seseorang akan gagal dalam hidup jika mengabaikan pembentukan akhlak yang mulia dalam diri.

Akhlak Al-Quran telah meninggikan semua asas yang suci itu dan mencantumkannya menjadi satu dasar yang lengkap, baru, progresif dan abadi. Akhlak mempunyai kuasa memerintah terhadap semua dan ini menjadikan tiap-tiap individu walaupun bagaimana buruk keadaannya, merasa mesti bertanggungjawab bagi mematuhi perintah yang sama. Seseorang yang melanggari perintah itu dengan pastinya akan menjadi terkutuk dan terhina.

Akhlak yang berdasarkan hati nurani individu tidak terselamat daripada terserempak dengan batu penarung yang merbahaya. Oleh yang demikian, setiap individu mestilah menyematkan dalam diri mereka bahawa mereka mesti sentiasa berakhlak mulia dalam hidup dan tidak terpengaruh dengan mana-mana godaan yang pasti membawa mereka ke lembah kekufuran dan kemaksiatan. Pelbagai halangan dalam pembentukan akhlak mulia seharusnya diatasi dengan segera supaya tidak meruntuhkan sesebuah ummah. Ini kerana keamanan sesebuah ummah bergantung kepada akhlak seseorang individu.


PENGENALAN
Menurut Ibnu Maskawih mendefinisikan akhlak sebagai keadaan jiwa seseorang yang mengajaknya untuk melakukan perbuatan-perbuatannya tanpa pertimbangan fikiran terlebih dahulu. Perkataan akhlak berasal dari perbendaharaan istilah-istilah Islamologi. Istilah lain yang mirip dengan kata akhlak ialah moral. Hakikat pengertian antara keduanya sangat berbeza.[1]

Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang kerana ia adalah buah daripada keimanannya. Adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak berakhlak.[2] Berhubung dengan hal inilah Rasulullah menyatakan:

“Bukanlah iman itu hanyalah cita-cita tetapi iman itu ialah keimanan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan.”                                                 
 (Hadith Riwayat Al-Dailani)



[1] Thaib, D. (1984). Risalah Agama. Yogyakarta,Indonesia: CV.Bina Usaha.; halaman 1
[2]  Yakan, A.-U. F. (2008). Apa Ertinya Saya Menganut Islam(Madha Ya'ni Intima'i Lil-Islam). Selangor: Dewan Pustaka Fajar(DPF).; halaman 45


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

PEMBENTUKAN AKHLAK



IMAN, ILMU DAN AMAL

Manusia dijadikan Allah terdiri daripada dua kumpulan iaitu jasmani dan rohani. Manusia dibekalkan dengan akal sebagai alat untuk memenuhi keperluan kedua-duannya. Akal boleh memikirkan cara manusia menjalani kehidupan dan membuat peraturan-peraturan dalam kehidupan bermasyarakat. Peraturan-peraturan ini bertujuan untuk mencapai hidup yang lebih baik. Akal boleh mengawal sebahagian sifat-sifat buruk itu, tetapi ia tidak berupaya untuk menghindarinya dari terus berlaku. Akal hanya boleh melihat akibat-akibat yang terbatas. Beriman dengan Allah boleh menjadi benteng kepada sifat-sifat keji dan mungkar. Oleh itu orang-orang yang beriman akan melakukan segala perintah Allah dan akan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah.

Iman adalah suatu bahagian yang paling terpenting dalam agama islam.Untuk menjadi seorang islam,seseorang itu hendaklah mengucapkan dua kalimah syahadat serta mempercayai sepenuhnya perkara-perkara asas yang menjadi kepercayaan umat islam.[1] Ini dibuktikan dengan  firman Allah yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, percayalah kepada Allah dan RasulNya, kepada kitab yang diturunkan kepada rasulNya dan kepada kitab-kitab yang telah diturunkan sebelumnya. Barangsiapa yang engkar terhadap Allah,terhadap malaikatNya, terhadap kitab-kitabNya, terhadap rasul-rasulNya dan terhadap hari akhirat, nyatalah ia telah tersesat sejauh-jauhnya”
(Surah An-Nisa:136)

Untuk menjadi seorang mukmin yang baik dan dikasihi Allah,tidaklah sekadar beriman sahaja tetapi hendaklah disertai dengan amal salih.Setiap orang islam dianjurkan supaya melakukan amal salih serta gemar melakukannya. Dalam firman Allah dalam Surah An-Nahl, ayat 97 yang bermaksud:
“Siapa Yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka Sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia Dengan kehidupan Yang baik; dan Sesungguhnya Kami akan membalas mereka, Dengan memberikan pahala Yang lebih dari apa Yang mereka telah kerjakan”
(Surah An-Nahl:97 )


Kepercayaan bahawa Allah telah mengirimkan ke dunia ini utusan dan Rasul-Nya, meletakkan dasar bahawa apa yang diterangkannya mengenai kebaikan dan keburukan (tabsyir dan inzar), khabar yang menggembirakan dengan janji-janji Allah untuk menakutkan dengan segala seksaan yang disediakan bagi mereka yang derhaka, adalah dasar-dasar pegangan dalam membentuk peribadi dan tingkah lakunya. Tidak sahaja manusia itu harus percaya bahawa rasul-rasul itu bersifat amanah atau dapat dipercayai, segala perkataannya benar, mempunyai kesempurnaan zahir batin dan menyampaikan kepada manusia apa yang diperintahkan Allah, tetapi juga ia harus mengambil alih sifat-sifat ini bagi membaiki budi pekertinya dan mengamalkan apa yang disampaikan oleh Allah s.w.t.[2]

Ilmu memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak seseorang. Menuntut ilmu adalah wajib sama ada menuntut ilmu fadhu ain atau ilmu fardhu kifayah. Rasulullah menggalakkan umatnya menuntut ilmu sepertimana dalam hadis yang bermaksud:

“Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China”


Dalam proses membentuk akhlak yang mulia, seseorang perlu mempunyai ilmu pengetahuan. Ilmu memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan akal seseorang sama ada dia ingin berakhlak mulia ataupun berakhlak dengan akhlak yang buruk. Akhlak mulia tidak dapat dibentuk sekiranya seseorang tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang secukupnya terutamanya dalam ilmu agama. Mereka yang tidak berilmu tidak dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk walaupun telah dikurniakan oleh Allah s.w.t akal yang sempurna untuk berfikir.

Dengan ilmu pengetahuan, kehidupan manusia di dunia ini dapat maju, mempunyai peradaban yang tinggi, dan berbagai macam kesulitan yang mengancam hidupnya dapat diatasi. Dan dengan ilmu pula, manusia dapat menduduki berbagai macam jabatan atau kedudukan yang mulia dan terhormat. Bahkan nasib kehidupan manusia di akhirat nanti pun, antara lain juga ditentukan oleh ilmu pengetahuan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Siapa menghendaki dunia, wajib ia mempunyai ilmu. Siapa menghendaki akhirat, wajib mempunyai ilmu. Dan siapa menghendaki dunia akhirat kedua-duanya, wajib juga ia mempunyai ilmu”


Rasulullah menggalakkan umatnya untuk menuntut ilmu kerana terdapat banyak kelebihan orang-orang yang menuntut ilmu. Antaranya ialah malaikat akan menaungi orang yang menuntut ilmu, hidupan di lautan juga akan mendoakan orang yang menuntut ilmu dan lain-lain. Kelebihan orang yang menuntut ilmu telah dijelaskan di dalam hadis yang bermaksud:

"Sesiapa yang berusaha untuk menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkannya jalan menuju ke syurga dan para malaikat mengembangkan sayapnya menaungi orang yang menuntut ilmu kerana suka akan mereka. Sesungguhnya orang yang alim juga akan dipohonkan keampunan oleh makhluk yang berada di langit dan di bumi sehinggakan ikan di air. Dan kelebihan seorang yang berilmu dengan seorang yang abid sama seperti bulan purnama berbanding dengan cakerawala yang lain. Sesungguhnya ulama' itu pewaris kepada para nabi dan sesungguhnya para nabi tidak sedikit pun meninggalkan harta walau satu dinar atau satu dirham, sesungguhnya mereka hanyalah mewariskan ilmu, maka sesiapa yang mendapatkan ilmu bererti ia telah memperolehi bahagiannya yang besar."
(Riwayat Abu Daud dan Al-Tarmizi)

Amal ialah setiap perbuatan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan yang baik. Setiap yang dipelajari haruslah diamalkan supaya tidak terlupa atau terlalai akan apa yang telah dipelajari. Begitu juga dalam pembentukan akhlak. Kita haruslah beramal dengan amalan yang mulia supaya kita menjadi orang yang berakhlak mulia. 


PELAKSANAAN IBADAT

Di dalam Islam, akhlak yang mulia itu lahir sebagai hasil dari pelbagai ibadah yang dilakukan. Tanpa hasil ini, tinggallah ibadah-ibadah itu sebagai upacara dan gerak-geri yang tidak mempunyai apa-apa nilai dan tidak membawa kepada  apa-apa faedah. Berhubung dengan sembahyang misalnya, Allah S.W.T menyebut di dalam Al-Quran di dalam surah al-ankabut ayat 45; yang bermaksud:
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari berbuat perkara jahat dan mungkar”
(Surah Al-Ankabut: 45)

Peribadatan Islam tetap berkaitan antara Allah dan manusia. Allah sendirilah yang mengampuni dan menghukum orang-orang yang lalai atau orang-orang yang jahat dalam peribadatannya.


[1]  Darraz, M. A. (1987). Prinsip Akhlak berdasarkan Al-Qur'an. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.; halaman 13
[2] Aboebakar Atjeh, P. D. (1979). Akhlak Dalam Islam. Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd., halaman 112


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

KESAN PENGABAIAN AKHLAK

Soal  akhlak menurut pengajaran agama Islam dapat kita ketahui dari salah sebuah sabda Rasulullah s.a.w ;
Pernah seorang lelaki bertanya di hadapan Rasulullah s.a.w”Ya Rasulullah, apakah hakikat agama itu? Baginda menjawab dengan pendek,`Akhlak yang baik”

Pelbagai kesan yang negatif akan wujud ekoran daripada pengabaian akhlak dalam jiwa setiap insan. Kesan pengabaian akhlak terbahagi kepada lima bahagian iaitu kesan terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama.


DIRI

Kesan-kesan yang kita perolehi akibat mengabaikan akhlak dalam kehidupan terhadap diri ialah hilangnya arah tuju hidup. Seseorang yang tidak berakhlak akan berasa hidupnya seperti di awang-awangan tanpa tujuan dan matlamat hidup. Mereka akan merasakan hidup mereka seolah-olah tidak berguna lagi kerana tidak mendapat cemuhan daripada masyarakat setempat. Selain itu, seseorang yang tidak berakhlak akan dipulaukan oleh keluarga dan masyarakat. Seseorang yang mempunyai akhlak yang buruk akan dipinggirkan oleh keluarga dan masyarakat. Sebuah organisasi keluarga tidak akan menerima ahli keluarganya yang berakhlak buruk kerana mereka telah menjatuhkan maruah ahli keluarganya yang lain dengan melakukan perbuatan yang  memalukan ahli keluarganya. Masyarakat pula akan mencemuh dan membenci orang yang melakukan perbuatan yang buruk. Sebagai contoh, seseorang yang merosakkan kemudahan awam seperti telefon awam akan dibenci oleh masyarakat kerana telah menyusahkan masyarakat untuk membuat panggilan ketika berlaku kecemasan. Melakukan kerosakan dimuka bumi, akan dimurkai Allah berdasarkan firmannya:

Terjemahan: dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya Kami orang-orang Yang hanya membuat kebaikan".
(Surah al-Baqarah: 11 )


KELUARGA

Kesan pengabaian akhlak terhadap keluarga pula ialah kemesraan yang telah lama wujud antara ahli keluarga akan serta-merta hilang sekiranya salah seorang daripada ahli keluarga mereka berakhlak buruk. Kajian menunjukkan seseorang yang berakhlak buruk berpunca daripada pengaruh rakan sebaya. Seseorang rakan memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan hidup rakannya yang lain. Kemesraan sesama ahli keluarga akan hilang kerana seseorang yang berakhlak buruk lebih cenderung untuk menghabiskan masa bersama-sama rakannya berbanding keluarganya. Mereka menganggap rakan-rakan mereka memahami segala masalah mereka dan dapat menghiburkan hati mereka yang selalu tertekan dengan masalah. Selain itu, pergaduhan akan berlaku dalam sebuah sistem kekeluargaan apabila salah seorang daripada ahlinya mempunyai akhlak yang buruk. Sebagai contoh, salah seorang daripada ahli keluarganya yang menimbulkan masalah akan sentiasa mempertahankan dirinya walau dengan apa cara sekalipun supaya mereka tidak dituduh melakukan perbuatan yang salah. Mereka sanggup bergaduh semata-mata untuk mempertahankan diri mereka.


MASYARAKAT

Kesan pengabaian akhlak terhadap masyarakat pula ialah masyarakat akan hidup dalam keadaan yang huru-hara. Segala perbuatan yang salah di sisi undang-undang yang dilakukan oleh orang yang berakhlak buruk tidak ditegur dan ditegah oleh masyarakat setempat. Masyarakat hanya pentingkan diri mereka sendiri dan memandang sahaja orang yang melakukan perbuatan itu dengan tiada rasa tanggungjawab dalam diri masing-masing. Ketidak prihatinan masyarakat terhadap pembentukan akhlak menyebabkan mereka hidup dalam keadaan yang tidak aman. Kes-kes rompakan, pembunuhan, penculikan, dan kes pecah rumah sering berlaku sekiranya masyarakat setempat masih mempertahankan ego masing-masing dan mementingkan diri mereka sendiri. Selain itu, maksiat akan berlaku dengan berleluasa sekiranya mereka mengabaikan pembentukan akhlak dalam diri mereka. Seseorang yang berakhlak buruk akan melakukan maksiat secara terang-terangan di khalayak ramai tanpa ada rasa malu dalam diri mereka untuk melakukannya. Maksiat  tetap akan berlaku dengan berterusan sekiranya masyarakat setempat tidak mengambil sebarang langkah yang proaktif untuk mengatasi masalah ini. Maksiat yang berlaku secara berleluasa akan menyebabkan masyarakat akan hidup dalam keadaaan yang bergelumang dengan dosa kerana tidak mencegah maksiat tersebut daripada berlaku malah membenarkan mereka melakukan maksiat tersebut .


NEGARA

Kesan pengabaian akhlak terhadap negara ialah pembangunan negara akan terganggu. Pembangunan yang pesat tidak akan berlaku sekiranya masyarakat dalam sesebuah negara mempunyai akhlak yang buruk. Wang yang sepatutnya digunakan untuk tujuan pembangunan negara telah digunakan untuk membina pusat-pusat pemulihan akhlak dan membaiki kemudahan-kemudahan awam yang telah dirosakkan oleh individu-individu yang berakhlak buruk. Jumlah wang yang diperlukan untuk memulihkan akhlak seseorang yang bermasalah adalah sangat tinggi. Selain itu, akan berlakunya kekacauan dalam sistem politik negara. Para menteri kabinet yang tidak berakhlak baik akan melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang yang sekaligus akan menyebabkan keadaan yang huru-hara dalam sesebuah pemerintahan. Sebagai contoh, seorang menteri yang tidak berakhlak akan menimbulkan masalah dalam sesebuah negara dengan menerima rasuah dari pihak-pihak tertentu yang mengelak daripada dikenakan hukuman.


AGAMA

Kesan pengabaian akhlak terhadap agama ialah agama Islam akan dipandang hina oleh penganut agama selain agama Islam. Mereka akan memandang serong terhadap agama Islam kerana peratusan orang yang berakhlak buruk kebanyakannya beragama Islam. Sebagai contoh, ramai orang yang beragama Islam ditempatkan di pusat serenti dan pusat pemulihan akhlak kerana banyak menimbulkan masalah terhadap orang awam dan negara. Masalah ini menyumbang kepada penurunan jumlah masyarakat yang beragama Islam di negara kita. Ramai orang yang beragama Islam telah keluar dari agama mereka iaitu agama Islam dan menukar masuk kepada agama selain agama Islam kerana mereka malu untuk mengaku diri mereka sebagai penganut agama Islam. Agama Islam mudah ditindas oleh agama lain sekiranya mereka mengabaikan proses pembentukan akhlak dalam jiwa mereka. Pegangan agama dalam diri seseorang yang berakhlak buruk adalah sangat lemah. Dengan pegangan agama yang lemah agama Islam tidak akan dapat dipertahankan daripada gangguan luar terutamanya dari golongan yang ingin menjatuhkan agama Islam. Sekiranya agama Islam berjaya di tindas oleh agama lain, agama Islam tidak akan berkembang dan hak-hak istimewa kita sebagai orang yang beragama Islam juga akan hilang.

No comments:

Post a Comment