Tuesday, February 8, 2011

Assignment CTU151: Islamic Thought and Civilization





Tajuk:
Pendidikan adalah aset yang penting
dalam pembangunan sesebuah tamadun yang utuh.



PENDAHULUAN

Manusia sebagai khalifah Allah s.w.t merupakan pemegang amanah yang bererti memakmurkan dunia yang masih tidak terputus daripada hubungan dengan unsur-unsur tauhid dan rububiyyah. Tatacara perhubungan sesama manusia adalah satu unsur persaudaraan dan kesamaan. Ini akan mendorong kepada nilai-nilai murni dan memupuk keamanan sejagat. Juga harus diingatkan, dunia ini kepunyaan Allah s.w.t. Harta kepunyaan manusia bukanlah bersifat mutlak, bahkan ia menjadi suatu ujian dan amanah Allah s.w.t. Walaupun kehidupan manusia dan makhluk lain yang diciptakan Allah s.w.t hanyalah bersifat sementara di muka bumi ini, mereka perlu sedar bahawa dunia adalah jambatan yang akan menentukan nasib untung dan rugi di akhirat kelak.

Kekuatan ilmu yang dimiliki oleh seseorang akan memacukan kepada pembangunan insan yang lebih mantap dan menyeluruh. Pembangunan insan yang mengambil kira aspek pembangunan rohani, akhlak dan kebendaan dapat membangunkan sesebuah tamadun bangsa yang berteraskan Islam sebagai cara hidup. Ia mestilah bersepadu diantara pembangunan ekonomi, politik, sosial dan spiritual. Keseimbangan antara pembangunan fizikal dan sosial mestilah seiring dan tanggungjawab untuk mengimbangkan antara pembangunan rohani serta akhlak bukan terletak kepada tugas kerajaan semata-mata, tetapi perlu dikongsi bersama oleh semua rakyat.

Seseorang muslim akan ditinggikan darjat oleh Allah s.w.t sekiranya mereka mempelajari ilmu pengetahuan. Pada hari ini kita dapat lihat bagaimanakah kedudukan orang-orang yang menguasai ilmu yang tinggi sehingga ke tahap kepakaran seperti doktor pakar dan sebagainya. Pembangunan tidak akan tercapai melainkan dengan adanya tokoh-tokoh pakar dalam bidang masing-masing. Mereka yang mempunyai ilmu sentiasa memberi sumbangan yang baik dalam pembangunan tamadun manusia.


1.0 Pengenalan
Dalam perkembangan tamadun Islam, ilmu merupakan unsur utama yang menjadi nadi penggerak kepada perkembangan tamadun manusia. Setiap individu Muslim diwajibkan menuntut ilmu. Allah s.w.t banyak berfirman di dalam wahyuNya tentang mewajibkan dan menggalakkan umat manusia menuntut ilmu pengetahuan untuk memberi kemudahan kepada mereka dalam menguruskan sesebuah tampuk pemerintahan. Sebagaimana firman Allah s.w.t yang membawa maksud:

Terjemahannya: "(Engkaukah Yang lebih baik) atau orang Yang taat mengerjakan Ibadat pada waktu malam Dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.
(Surah Az-Zumar: 9)


2.0 Definisi

Pendidikan:

Kamus Dewan mendefinisikan pendidikan daripada perkataan didik yang membawa maksud pelihara, ajar, dan jaga. Ia bermaksud suatu proses yang berterusan untuk menjaga dan memelihara pembesaran tubuh badan pada pertumbuhan bakat manusia dengan rapi supaya dapat melahirkan orang yang berilmu, baik tingkah laku serta dapat mengekalkan nilai-nilai budaya di kalangan masyarakat.

Pendidikan dari pandangan Barat merupakan suatu proses melatih akal, jasmani, dan moral supaya dibentuk menjadi manusia dan warganegara yang baik.

Dari perspektif Islam pula, pendidikan merupakan satu proses yang berterusan untuk merubah, melatih, dan mendidik akal, jasmani dan rohani berasaskan kepada nilai Islam yang bersumberkan wahyu bagi melahirkan insan yang bertaqwa dan mengabdikan diri kepada Allah untuk mendapat kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Islam menjadikan ilmu pengetahuan sebagai aset dan alat penggerak utama kemajuan umatnya. Pendidikan merupakan tuntutan yang pasti bagi setiap insan yang hidup di dunia ini.[i] Islam telah mengingatkan umatnya agar menuntut ilmu sejak dari awal kelahirannya ke dunia. Iaitu bermula dari buaian sehinggalah ke liang lahad. Ini bermaksud, pembelajaran dalam Islam berlaku sepanjang hayat dengan tidak mengira masa, tempat dan peringkat umur.


Tamadun:

Menurut Kamus Dewan, tamadun merupakan suatu keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran yang tinggi. Perkataan Tamadun berasal daripada perkataan Arab madana, madinah, madaniyyah bermaksud masyarakat bandar yang terbina melalui proses urbanisasi. Jika istilah tamadun dilihat menurut perspektif Islam ia merangkumi pembangunan spiritual dan material secara serentak dan sepadu. Masyarakat tidak akan dapat mencari satu etika tamadun jika tidak mempunyai masyarakat yang bermoral.[ii]

Perkataan tamadun juga diistilahkan dalam Bahasa Inggeris iaitu civilization. Menurut Colingwood, ia merupakan suatu proses bagi mencapai tahap kehidupan civil (sopan), membawa lahirnya ciri-ciri masyarakat bandar yang mempunyai kehalusan budi. Perkataan civilization berasal daripada Bahasa Greek iaitu Civitas yang bermaksud bandar atau kota. Masyarakat Barat lebih memberikan penekanan kepada kemajuan material berbanding moral, malah mereka sudah tidak boleh menerima lagi apa sahaja yang bersifat tradisi, termasuk doktrin keagamaan. Penekanan yang diberikan adalah lebih kepada aspek moral sebagai asas kepada lahirnya masyarakat bandar dan kota yang bertamadun.

Ibn Khaldun yang merupakan ahli sosiologi dan sejarawan Arab muslim pula mendefinisikan tamadun dengan menggunakan perkataan umran iaitu dari kata dasar amara. Ia bermaksud kawasan tanah atau rumah yang didiami, diduduki orang, tinggal menetap serta keadaannya berkembang subur dan makmur.[iii] Ia merangkumi makna bunyan yang membawa maksud, terdapatnya kerja-kerja pembinaan bangunan. Elemen penting yang ditekankan oleh Ibn Khaldun ialah segala ciri-ciri tamadun haruslah terbina atas asas spiritual (hidayah) Allah s.w.t bukan jibayah yang hanya mementingkan material semata.


[i] Abdullah Jusuh, Pengenalan Tamadun Islam Di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989, hal. 1.
[ii] Haji Ahmad Fauzi Hj Morad dan, Ahmad Tarmizi Talib, Tamadun Islam, Penerbit Universiti Putra Malaysia, Serdang, 1997, hal. 2.
[iii] Wan Abdullah B. Wan Mahmood, Sejarah Tamadun Islam, Biro Teks ITM, Kuala Lumpur, 1991, hal. 2.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


3.0 Peranan ilmu dalam sesebuah tamadun
Menuntut ilmu adalah merupakan suatu kewajipan yang dituntut untuk setiap muslim. Masjid merupakan institusi pendidikan utama yang sudah bermula sejak permulaan Islam lagi.[i] Ilmu memainkan peranan yang penting dalam sesebuah tamadun. Tamadun yang dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t kepada manusia ialah tamadun yang berteraskan konsep tauhid, iaitu menjadikan segala pembangunan kehidupan di dunia semata-mata kerana Allah s.w.t bagi mencapai kebahagiaan di akhirat. Gagasan ke arah membina tamadun banyak kita dapat lihat dalam ayat-ayat suci Allah s.w.t yang bermaksud:

Tejemahan: "Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang berbuat kerosakan ".

(Surah Al- Qasas: 77)


Ketamadunan umat Islam sekitar kurun ke 8 hingga kurun ke 12 membuktikan bahawa ilmu pengetahuan mempunyai hubungan yang amat rapat dengan semua aspek pembangunan sama ada dalam bentuk fizikal, rohani, akidah, nilai dan sebagainya. Antara peranan pendidikan dalam sesebuah tamadun ialah memajukan tamadun itu sendiri, menjamin kualiti peribadi muslim dan menerapkan nilai-nilai murni dalam jiwa setiap umat Islam.


Pendidikan memajukan sesebuah tamadun
Melalui ilmu pengetahuan, masyarakat sesebuah tamadun dapat meningkatkan dan memajukan tamadun mereka. Kaum muslim adalah yang pertama kali menggunakan jam biasa dengan ukuran detik dan minit yang lazim kita guna sekarang untuk menentukan waktu. Mereka juga telah menemukan aturan dan undang-undang buat mengetahui berat sesuatu benda, baik padat mahupun cair, dan untuk itu telah menyusun jadual-jadual perjalanan bintang-bintang, yang digunakan baik di Samarkand atau Cordova.[ii] Allah s.w.t banyak berfirman di dalam wahyunya tentang mewajibkan dan menggalakkan umat manusia menuntut ilmu pengetahuan untuk mencapai kesenangan di dunia dan di akhirat.[iii] Sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Terjemahannya: "(Engkaukah Yang lebih baik) atau orang Yang taat mengerjakan Ibadat pada waktu malam Dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.                                  
(Surah Az-Zumar: 9)



Menjamin kualiti peribadi seorang Muslim
Kualiti peribadi seorang Muslim akan terjamin sekiranya aspek pendidikan telah lama tertanam dalam jiwa mereka. Mereka yang berilmu akan memiliki peribadi yang luhur kerana mereka mencontohi sifat-sifat mulia yang ada pada Rasulullah s.a.w. Antara sifat-sifat mulia yang ada pada baginda ialah sifat baik hati, amanah, sentiasa bercakap benar, dan lain-lain sifat mulia. Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam membangunkan sesebuah tamadun terutamanya dalam pembangunan sahsiah jati diri masyarakat tamadun tersebut. Rakyat yang berdisiplin lebih senang ditadbir berbanding rakyat yang tidak berdisiplin dan bermasalah. Kualiti peribadi muslim akan terjamin sekiranya mereka sentiasa berusaha mendalami ilmu dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada mereka dan negara mereka. Sebagai contoh, seseorang individu yang mendalami ilmu dengan menghadiri kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah agama, mereka akan dapat mempertahankan kualiti mulia yang ada dalam diri mereka.

Penerapan nilai-nilai murni dalam jiwa umat manusia
Nilai-nilai murni dalam diri perlu diterapkan sejak dari kecil oleh ibu bapa supaya dapat mendidik mereka menjadi manusia yang berguna. Penerapan nilai-nilai murni adalah berasaskan ilmu pengetahuan yang telah diambil daripada Al-Quran sebagai rujukan dan panduan. Seorang muslim yang memiliki nilai-nilai murni dapat membangunkan tamadun mengikut syariat Islam. Mereka akan berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah dalam menjalankan aktiviti kehidupan mereka dan tidak melakukan perbuatan yang disukai oleh syaitan dan tidak menjadikan syaitan sebagai ikutan sekiranya mereka memiliki nilai-nilai yang murni. Allah s.w.t telah menjelaskan bahawa syaitan adalah musuh umat manusia  di dalam firmanNya yang bermaksud:

Terjemahannya: "Bukankah Aku telah perintahkan kamu Wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh Yang nyata terhadap kamu!
(Surah Yaa Siin: 60)


Sesetengah daripada orang-orang Islam seolah-olah tidak dapat membezakan dirinya sebagai makhluk yang baik yang diciptakan oleh Allah s.w.t berbanding dengan orang-orang bukan Islam dan makhluk-makhluk yang lain. Mereka sanggup meniru perkara yang negatif daripada perbuatan orang-orang bukan Islam, terutamanya dari negara Barat iaitu dengan menyamakan diri serta perangainya seperti minum minuman keras, berjudi, berpakaian yang mendedahkan aurat, duduk atau berjalan berdua-duaan di antara lelaki dengan perempuan tanpa ikatan nikah sehingga ke tahap perzinaan. Mereka tidak mempunyai perasaan malu dan segan silu sedikit pun, malah lebih daripada itu melakukan penipuan, rasuah dan kezaliman terhadap yang lemah.


[i]  Mahayudin Hj. Yahaya, Tamadun Islam (Edisi Kedua), Penerbit Fajar Bakti, Selangor, 2001, hal. 327.
[ii] Syeikh Moh Abduh, Ilmu dan Peradaban Menurut Islam dan Keristen, Bismi Publishers, Singapura, 1982, hal. 99.
[iii] Ibid., Wan Abdullah B. Wan Mahmood, hal. 88.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

4.0 Kesan pendidikan terhadap pembangunan tamadun

Selama abad-abad pertengahan, sejarah Islam adalah sejarah peradaban sepenuhnya.[i] Pendidikan memberi impak yang besar terhadap sesebuah tamadun dengan mengambil kira aspek-aspek yang mempengaruhi pembangunan sesebuah tamadun. Islam juga menekankan semangat muafakat untuk mengurangkan pertelingkahan antara majikan dengan pekerja, pengeluar dengan pengguna dan sebagainya dalam sistem ekonomi yang berasaskan tauhid.[ii] Pendidikan memberi kesan terhadap pembangunan sesebuah tamadun dari segi sosial, ekonomi dan politik.


4.1 Sosial

Pendedahan tentang ilmu pengetahuan mempengaruhi sosial penduduk di sesebuah tamadun. Masyarakat hidup dalam suasana yang aman sejahtera sekiranya masalah kemiskinan dapat diatasi. Masalah kemiskinan adalah berpunca daripada tahap pendidikan yang rendah dalam diri seseorang. Dengan tahap pendidikan yang rendah, mereka tidak mampu untuk menyara hidup mereka, lantas mengambil jalan singkat untuk mendapat keperluan asas walaupun ditegah oleh agama Islam. Jalan singkat yang mereka ambil adalah dengan mencuri kerana itulah jalan yang paling mudah dan singkat untuk mereka mendapatkan wang. Sekiranya taraf pendidikan sesebuah masyarakat tinggi, nescaya peratusan kes jenayah dapat dikurangkan.

Selain itu, maksiat yang semakin berleluasa dewasa ini, dapat dikurangkan sekiranya pendidikan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kewajipan menutup aurat dan menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dengan perempuan. Ilmu yang sebenar yang dikehendaki dalam Islam ialah ilmu yang dapat memberi manfaat kepada diri orang yang berilmu itu sendiri dan manusia keseluruhannya. Ilmu yang dituntut juga dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran dunia serta akhirat dan ilmu yang diajar kepada orang lain atau dapat dimanfaatkan oleh orang lain dikategorikan sebagai sedekah yang paling baik. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Sebaik-baik sedekah bahawa seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajar sahabatnya yang Muslim.

(Diriwayat oleh Ibnu Majah)


Salah satu sasaran pendidikan agama yang sangat penting iaitu pembentukan suatu sikap pada anak didik, suatu sikap yang dirasakan sebagai suatu kebutuhan untuk selalu dan dengan usaha sendiri menambah serta memperkaya pengetahuan dan pengalamannya.[iii] Gejala keruntuhan akhlak juga akan berkurangan sekiranya para pelajar telah menyedari peri pentingnya pendidikan terhadap masa depan mereka. Para pelajar yang melepak kebanyakannya terdiri daripada orang-orang yang tidak mengetahui tentang kepentingan pendidikan. Mereka lebih suka menghabiskan masa mereka dengan melakukan perkara yang menjadi kesukaan mereka daripada belajar di sekolah mereka.


4.2 Ekonomi

Islam menggalakkan umatnya berusaha mencari kurnia Allah s.w.t di seluruh muka bumi dengan tidak melalaikan kewajipan mereka menunaikan sembahyang dan mengingati Allah s.w.t supaya mereka beroleh keuntungan yang hakiki, iaitu kejayaan hidup di dunia dan kebaikan di akhirat. Ini dibuktikan berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Terjemahannya: kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).

(Surah Al-Jumu’ah : 10)


Pendidikan memberi kesan terhadap pembangunan ekonomi sesebuah tamadun. Pembangunan tamadun yang pesat adalah disebabkan oleh kewujudan ilmu pengetahuan yang ada dalam diri masyarakat tamadun tersebut. Ekonomi yang disyariatkan oleh Islam yang dapat membangunkan sesebuah tamadun adalah yang tidak terdapat unsur penipuan di dalam urusannya. Sebagai contoh, dalam urusan perniagaan, unsur riba’ adalah diharamkan oleh Islam kerana terdapat unsur penipuan. Perniagaan tidak akan maju sekiranya terdapat unsur penipuan kerana secara zahirnya semua manusia tidak suka ditipu oleh orang lain. Allah s.w.t mengharamkan sebarang unsur riba’ dalam urusan perniagaan walaupun dengan nilai yang sedikit. Pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan bertujuan untuk membaiki taraf hidup rakyat keseluruhannya.[iv]

Selain itu, ekonomi dapat berkembang dengan maju. Contohnya, pendidikan mengajar manusia cara-cara untuk menjalankan dan meluaskan perniagaan. Dengan adanya ilmu tentang perniagaan, mereka akan dapat mengetahui selok-belok perniagaan. Dengan adanya pengetahuan tentang pengurusan perniagaan, mereka akan dapat mengembangkan perniagaan mereka sekaligus memajukan tamadun tersebut menjadi tamadun yang maju. Disiplin-disiplin dan bidang-bidang adalah ‘setiap sains yang diperlukan untuk memperoleh kesejahteraan dunia’ sedangkan tanpa ‘disiplin-disiplin dan bidang-bidang tersebut, sesebuah masyarakat akan menghadapi kesulitan-kesulitan yang rumit’.[v] Disiplin-disiplin dan bidang-bidang ini ialah pertanian, kedoktoran, politik dan kemahiran teknikal.


4.3 Politik

Ilmu-ilmu sains dan teknologi moden yang ada sekarang ini semuanya berasaskan sumber yang dibekalkan oleh Allah s.w.t, menguasainya adalah tuntutan yang dituntut oleh agama Islam. Penguasaannya perlu bagi pembangunan tamadun manusia pada zaman ini bagi memartabatkan Islam di mata musuh yang sentiasa memandang serong terhadap Islam. Kehebatan Islam pada hari ini terletak kepada kehebatan penganutnya. Hanya penganut yang menguasai ilmu pengetahuan yang luas sahaja yang boleh memajukan dan membina tamadun Islam yang dinamis.

Sesebuah tamadun akan dapat diperintah dengan adil sekiranya pendidikan telah diterapkan dalam diri setiap masyarakat terutamnya dalam diri pemerintah tamadun tersebut. Pendidikan yang telah ada dalam diri setiap individu masyarakat akan membangunkan tamadun tersebut menjadi tamadun yang maju setaraf dengan tamadun yang lain yang lebih maju daripadanya. Kemajuan sesebuah tamadun bergantung kepada masyarakat yang tinggal dalam tamadun tersebut. Sekiranya masyarakat tersebut berilmu, maka mereka akan bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam usaha untuk mentadbirkan negara mereka menjadi negara yang maju. Firman Allah s.w.t tentang berlaku adil dalam sesebuah pentadbiran bermaksud:

Terjemahannya: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.          
 (Surah An-Nahl : 90)


Selain itu, melalui pendidikan sistem pentadbiran negara menjadi lebih sistematik dan teratur. Sebagai contoh, pemerintah membahagikan urusan-urusan pentadbiran kepada menteri-menteri kabinet yang arif tentang tugas yang diamanahkan kepada mereka. Menteri kewangan akan menguruskan tentang kewangan dalam negara tersebut manakala menteri pelancongan akan menguruskan tentang hal-hal pelancongan seperti cara untuk meningkatkan kualiti tempat pelancongan dan meningkatkan jumlah pelancong ke negara mereka. Sekiranya pendidikan tidak wujud dalam sesebuah negara, maka pincanglah negara tersebut kerana menteri-menterinya tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang cara menguruskan tampuk pemerintahan negara dengan berkesan.

Di samping itu, melalui pendidikan sesebuah negara dapat menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara luar. Ini bertujuan mengadakan usaha kerjasama antara negara-negara yang terlibat demi memajukan sesebuah negara. Sebagai contoh, sebuah negara yang hendak maju mengadakan hubungan diplomatik dengan negara yang telah maju seperti Jepun dalam usaha untuk memperolehi sedikit bantuan tenaga mahir dalam sesebuah industri seperti industri pengangkutan.


[i] M. Hashem, Kekaguman Dunia Terhadap Islam, Pustaka Perpustakaan Salman ITB, Bandung, 1983, hal. 3
[ii] Azhar Hj. Mad. Aros, Tamadun Islam Dan Tamadun Asia (TITAS), Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, Selangor, 2004, hal. 33
[iii] Prof Dr. D.A. Tisna Amidjaja, Iman, Ilmu Dan Amal, Pustaka Perpustakaan Salman ITB, Bandung, 1980, hal. 188.
[iv] Abdul Rahman Nawas, Tamadun Islam, Pustaka Haji Abdul Majid, Kuala Lumpur, 1995, hal. 72.
[v] Dr. S. Waqar Ahmed Husaini, Sistem Pembinaan Masyarakat Islam, Penerbit Pustaka, Bandung, Indonesia, 1983, hal. 95.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


5.0 Cabaran pendidikan dalam pembangunan tamadun

Terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh pendidikan dalam usaha untuk memajukan sesebuah tamadun. Cabaran-cabaran tersebut wujud untuk menentukan tahap keberkesanan sesebuah tamadun untuk mengatasinya. Cabaran-cabaran pendidikan dalam usaha memajukan tamadun dapat dikategorikan kepada dua cabaran iaitu, cabaran dalaman dan cabaran luaran.


5.1 Cabaran dalaman

Cabaran dalaman ialah sesuatu cabaran atau halangan yang menyebabkan kita tidak mampu untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan sempurna. Cabaran dalaman amat sukar untuk diatasi melainkan mereka sendiri yang perlu mengubahnya. Setiap insan tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Antara cabaran dalaman yang dihadapi oleh seseorang dalam aspek pendidikan ialah mereka kurang berminat untuk menuntut ilmu, kurang penekanan daripada ibu bapa dan guru dan kurang kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam membangunkan sebuah tampuk pemerintahan serta ibu bapa yang mementingkan kerjaya masing-masing.

Kurang berminat dalam menuntut ilmu
Cabaran dalaman yang pertama ialah tidak berminat untuk mendalami ilmu pengetahuan. Mereka menganggap bahawa menuntut ilmu merupakan sesuatu yang membosankan dan tidak memberikan apa-apa faedah kepada mereka. Apabila seseorang itu kurang berminat untuk mempelajari ilmu pengetahuan, mereka tidak akan dapat memajukan negara mereka kerana kurang pengetahuan tentang langkah pengurusan sesebuah negara. Mereka yang tidak berilmu bukan sahaja tidak boleh memajukan negara, bahkan menjatuhkan negara mereka sendiri. Suasana di tempat belajar juga mempengaruhi seseorang untuk menjadi kurang berminat dalam menuntut ilmu.

Kurang penekanan daripada ibu bapa
Cabaran dalaman yang kedua ialah mereka mendapat kurang penekanan daripada ibu bapa dan guru untuk belajar. Kedua ibu bapa seharusnya berlaku tegas terhadap anak mereka yang tidak berminat untuk belajar. Mereka seharusnya memberi penekanan kepada anak-anak mereka sejak dari kecil lagi tentang kepentingan menuntut ilmu, kerana bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa pada hari ini lebih percayakan pembantu rumah mereka untuk mendidik anak mereka walaupun mereka menyedari dan mengetahui bahawa anak mereka mahukan kasih sayang dan perhatian daripada mereka. Anak-anak yang lahir dari keluarga yang bermasalah tidak dapat mendisiplinkan diri mereka lantas mencetuskan huru-hara dalam sesebuah masyarakat yang pada akhirnya memberi impak yang besar dalam pembangunan sesebuah tamadun.

Ibu bapa yang mementingkan kejaya mereka
Cabaran dalaman yang ketiga ialah ibu bapa yang mementingkan kerjaya masing-masing. Pada zaman yang serba canggih ini, ibu bapa hanyalah mementingkan kerjaya mereka dan mengejar kemewahan dunia semata-mata. Harta di dunia hanyalah pinjaman sementara oleh Allah s.w.t untuk menguji keimanan hambaNya sama ada mereka berjaya mengawal nafsu keduniaan mereka ataupun tidak.

Tidak dinafikan lagi bahawa kedua ibu bapa perlu bekerja untuk menampung kos sara hidup mereka terutamanya ketika berlakunya kegawatan ekonomi. Walaupun yang demikian mereka haruslah bijak mengurus dan membahagikan masa yang mereka ada untuk bersama anak-anak mereka. Kejayaan anak-anak bergantung kepada institusi sebuah kekeluargaan sama ada dari keluarga yang aman ataupun dari keluarga yang berpecah belah.

Masyarakat yang tidak prihatin
Masyarakat setempat yang mementingkan diri sendiri juga menjadi salah satu cabaran untuk membangunkan dari aspek ekonomi sesebuah tamadun. Sebagai contoh, sekiranya masyarakat melihat seorang atau beberapa individu melakukan perbuatan seperti merosakkan kemudahan awam tetapi tidak menegahnya dan menegur mereka, berkemungkinan besar mereka yang terlibat akan merasakan segala perbuatan jahat mereka adalah dibenarkan oleh kerajaan kerana tidak seorang pun yang menegur perbuatan mereka. Kajian menunjukkan bahawa, kebanyakan remaja yang berkelakuan buruk dan merosakkan kemudahan awam adalah bertujuan untuk menarik perhatian daripada orang lain kerana mereka berada dalam kesunyian yang nyata.


5.2 Cabaran luaran

Cabaran luaran ialah suatu cabaran yang berlaku disebabkan sesuatu yang luar daripada diri kita. Cabaran luaran selalunya terjadi ekoran daripada pengaruh di sekeliling kita sama ada pengaruh rakan sebaya, masyarakat ataupun media massa. Antara cabaran luaran seseorang dalam aspek pendidikan ialah pengaruh rakan sebaya yang mengajak kepada perkara yang negatif, pengaruh media massa yang menyiarkan rancangan yang melalaikan serta masalah kewangan yang dihadapinya.

Pengaruh rakan sebaya
Cabaran luaran yang pertama ialah pengaruh daripada rakan sebaya yang mengajak melakukan perkara-perkara negatif yang ditegah oleh kerajaan. Mereka mengajak ke arah perbuatan yang lagha atau melalaikan. Rakan sebaya merupakan orang yang paling banyak kita berdamping kerana kita menghabiskan banyak masa kita di sekolah. Rakan merupakan orang yang paling rapat kerana mereka adalah sebaya dan seseorang tidak akan merasa malu untuk meluahkan perasaan dan masalah mereka. Di samping itu, sesetengah remaja banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawannya berbanding dengan keluarga mereka. Rakan yang tidak baik akan mengajak kita dan mempengaruhi kita supaya melakukan kejahatan dan kemaksiatan. Selain itu, rakan-rakan memainkan peranan penting dalam pembentukan sikap dan pemikiran mereka terhadap kepentingan ilmu, peranan ilmu dan masalah yang akan dihadapi dengan ketiadaan ilmu.

Pengaruh media massa
Pengaruh media massa yang melalaikan mereka dan menjadikan mereka tidak mengambil berat tentang pelajaran mereka. Dewasa kini, dapat kita lihat pelbagai media yang dapat meruntuhkan akhlak pelajar dan golongan belia. Terdapat di kaca-kaca TV dan medan internet yang tanpa sempadan hiburan yang mendidik mereka ke arah unsur keganasan yang boleh meruntuhkan sesebuah institusi masyarakat dan akhlak mereka. Disini, kita dapat melihat banyak saaluran media yang memaparkan hiburan yang menjadikan mereka sentiasa lalai terhadap ilmu dan menjadikan mereka terikut-ikut dengan budaya Barat. Selain itu, trend ‘black metal’ juga menjadikan mereka leka dan membantutkan kemajuan sesebuah negara.

Masalah kewangan
Terdapat sesetengah pelajar yang mempunyai masalah kewangan yang serius kerana kebanyakan wang biasiswa disalurkan kepada orang yang tidak sepatutnya. Oleh yang demikian, mereka yang berhadapan dengan masalah kewangan tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti dan akan wujudlah kes-kes yang tidak sepatutnya berlaku seperti rompakan, penculikan, pembunuhan dan sebagainya kerana desakan hidup. Masalah-masalah yang sering berlaku di negara kita iaitu Malaysia menjadikan wang yang sedia ada telah banyak disalurkan untuk tujuan membaiki kerosakan kemudahan awam, menubuhkan pusat pemulihan akhlak muda-mudi dan sebagainya. Dengan wujudnya bantuan kewangan kepada para pelajar, sudah tentu mereka akan dapat melanjutkan pelajaran mereka demi membentuk kejayaan dalam pembangunan sesebuah tamadun.

Kerajaan yang tidak menitikberatkan soal pelajaran memberi impak yang amat besar terhadap negara khasnya dalam usaha untuk memimpin rakyat dan memajukan tamadun tersebut. Kebanyakan negara seperti India pada masa dahulu, tidak mementingkan pelajaran dan menjadikan negara tersebut negara yang mundur ketika itu. Kini, kita dapat lihat negara tersebut menjadi sebuah negara yang maju dan mampu menjadi negara yang terkenal pada masa kini. Kerajaan merupakan satu pihak yang amat penting dalam mendidik remaja supaya mencintai ilmu dan menghasilkan ummah yang berpendidikan tinggi serta menyumbang kepada kemajuan negara.  


6.0 Cara mengatasi

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Terjemahannya: bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, Yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) Dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun Yang dapat menolak atau menahan apa Yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun Yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya.
(Surah Ar-Ra’d: 11)


Masalah-masalah yang berlaku ini adalah disebabkan kurangnya pendidikan dalam diri setiap insan dan kelemahan pendidikan agama dalam diri setiap generasi muda kini. Segala perancangan bijak perlu dilakukan. Terdapat pelbagai cara untuk menghadapi masalah-masalah yang berlaku disebabkan oleh kurangnya ilmu dalam pembangunan negara. Antaranya ialah, penerapan ilmu dalam diri anak-anak sejak dari kecil lagi oleh ibu bapa, kerajaan perlu mengetatkan undang-undang dan memberikan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan.

Penerapan ilmu sejak kecil
Penerapan ilmu dalam diri anak-anak amat penting bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan rakan-rakan dan media massa yang wujud disekeliling mereka. Dalam dunia global masa kini, terdapat pelbagai media massa yang bukan sahaja memandu mereka ke arah kegagalan bahkan dapat merosakkan ibadah mereka. Terdapat pelbagai media yang menghidangkan aksi-aksi keganasan dan memaparkan adegan-adegan yang boleh merosakkan akidah seseorang individu seperti di kaca-kaca televisyen, medan-medan internet dan di corong-corong radio. Oleh itu, peranan ibu bapa amatlah penting dalam mendidik anak-anak dan memberi pendidikan kepada mereka yang meliputi ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi. Ini bertujuan untuk memastikan anak-anak mereka membesar dan dapat membangunkan negara dengan berlandaskan ilmu pengetahuan yang telah mereka pelajari tetapi bukannya berdasarkan nafsu syaitan yang mengajak kepada kemungkaran.

Memperketatkan undang-undang
Langkah kedua yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini ialah merupakan peranan kerajaan. Kerajaan perlulah mengetatkan undang-undang dalam sistem pendidikan negara untuk menunjukkan kepada masyarakat tentang betapa pentingnya pelajaran dalam membina kehidupan manusia sejagat. Terdapat negara yang mengetatkan undang- undang dengan mengenakan denda kepada sesiapa yang tidak ingin mempelajari ilmu pengetahuan atau tidak membenarkan anak meraka belajar akan dikenakan denda yang berat seperti memenjarakan ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka belajar atau mengenakan denda yang tinggi. Ibu bapa yang tidak memberikan anak mereka pelajaran samalah seperti merosakkan kehidupan anak mereka sendiri. Perkara ini berlaku kerana ibu bapa terlalu mementingkan hal-hal mereka berbanding hal-hal anak mereka. Maka, wajarlah ibu bapa yang bersikap sedemikian dihukum atas kealpaan mereka terhadap pelajaran dalam  institusi keluarga mereka.

Bantuan kewangan oleh kerajaan
Selain itu, kerajaan perlu memberi bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan bagi memastikan mereka dapat belajar tanpa mereka risau akan masalah kewangan mereka. Kewangan merupakan sesuatu yang amat penting dalam diri seseorang pelajar. Wang diperlukan bagi menampung yuran-yuran pengajian di universiti yang tinggi nilainya dan kemudahan-kemudahan untuk mereka belajar. Sebagai contoh, pihak penaja biasiswa seperti MARA dan JPA memberikan kemudahan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan mereka untuk melanjutkan pelajaran sama ada di dalam negara mahupun di luar negara. Terdapat juga di negara kita sebuah jabatan kerajaan yang memberi pinjaman kepada pelajar-pelajar yang menghadapi masalah kewangan yang kurang cemerlang dalam peperiksaan mereka seperti PTPTN dan pelajar tersebut dikehendaki untuk membayar semula pinjaman tersebut selepas mereka tamat belajar dengan erti kata lain mereka sudah bekerja.


KESIMPULAN

Pendidikan merupakan aset yang amat penting dalam membangunkan sesebuah tamadun yang utuh. Pendidikan dalam Islam adalah bersepadu di antara rohaniah, akliah dan jasmaniah. Ketiga-tiga dimensi ini tidak dapat dipisahkan dan tidak boleh juga diabaikan dalam pendidikan. Sesebuah negara sama ada negara Islam atau barat akan maju dengan adanya pelajaran yang dapat memantapkan sektor pemerintahan mereka dan dapat menguruskan sistem pentadbiran dengan lebih sistematik dan berkesan.

Apabila keadaan yang sedemikian berlanjutan, tidak mustahil akhirnya muncul generasi baru yang menentang agama, tidak mustahil juga akan lahir andaian bahawa agama Islam dan syariah Islam itu tidak serasi atau sesuai dalam perkembangan dunia. Mereka akan menganggap ajaran dalam agama Islam sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai bagi mereka. Sekiranya pendidikan telah lama wujud dalam jiwa mereka, mereka tetap akan berpegang dengan ajaran Islam walaupun terdapat banyak musuh Islam yang menghina agama ini kerana mereka mempunyai ilmu pengetahuan dan memahami ajaran yang terkandung dalam kitab suciNya iaitu Al-Quran. Islam mengajar umatnya agar sentiasa cergas dalam apa jua aktiviti dan pekerjaan yang dilakukan serta berpengetahuan dalam membuat sesuatu keputusan supaya dapat menyumbang kepada pembangunan umat manusia di dunia dan di akhirat. Berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.” 
(Surah al-Ra’d:11)


Ayat di atas menerangkan bahawa Allah s.w.t tidak akan sekali-kali mengubah nasib sesebuah masyarakat sama ada kepada yang lebih baik atau kepada yang lebih buruk. Masyarakat dalam tamadun tersebut sahaja yang boleh serta berhak untuk mengubah nasib mereka terutamanya dalam meningkatkan taraf hidup mereka. Mereka akan menuntut ilmu sekiranya telah menyedari bahawa pendidikan dapat meningkatkan taraf hidup mereka serta dapat membangunkan tamadun tersebut menjadi sebuah tamadun yang maju setaraf dengan tamadun maju yang lain. Pihak masyarakat dan kerajaan perlu berganding bahu dalam menyelesaikan segala cabaran yang wujud ketika dalam proses membangunkan sesebuah tamadun. Tindakan membiarkan sebelah pihak sahaja yang menyelesaikan masalah tersebut bukanlah satu tindakan yang bijak kerana kita membiarkan pihak lain bersusah payah berusaha memajukan tamadun tersebut tetapi kita tidak berusaha langsung tetapi menginginkan untuk bersama menikmati kemajuan tamadun. 



Syahida Abd Aziz
Diploma in Business Studies
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis
2011

No comments:

Post a Comment